Semasa

Agong Turun Padang Dan Selepas Tuanku Lihat Sungai Dah Tak Macam Sungai, Ini Arahan Baginda Beri

Keprithatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap isu alam sekitar tidak dapat dinafikan apabila baginda berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla, Cameron Highlands, hari ini.

Dalam kunjungan sulung ke tanah tinggi itu sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bertitah agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Terlom.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencerobohan tanah itu menyebabkan Sungai Ichat yang juga satu daripada sumber air bagi Loji Air Kuala Terla selain Sungai Terla bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah berisiko memudaratkan orang ramai.

Al-Sultan Abdullah berkenan menunjukkan keadaan Sungai Ichat yang tercemar akibat pencerobohan tanah.

“ Sungai Ichat ini satu sumber air yang diperlukan oleh kawasan persekitaran ini. Kalau itu (sungai) diracuni, mungkin tiada lagi sumber lain.

“ Setakat ini kualiti sungai tidak baik dan sekarang kerajaan sedang dalam proses membersihkannya. Kita mahu mana-mana mereka yang menceroboh harus berhenti kerana akibat pencerobohan ini akan memudaratkan pihak tertentu,” titah Seri Paduka kepada Bernama di Cameron Highlands, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan semua pihak supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik dalam memastikan usaha mengatasi serta menghapuskan pencerobohan tanah di sekitar Cameron Highlands khususnya Sungai Ichat berhasil.

“ Kerajaan negeri Pahang memang memandang serius perkara ini. Sebab itu tindakan meroboh dan ambil balik tanah (yang diceroboh) dipergiat dan kerajaan pusat sedang memerhati serta menyokong tindakan ini,” titah Seri Paduka.

Kerajaan negeri Pahang telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan pada 11 April lepas untuk membatalkan injunksi yang dibuat 23 peneroka tanah di Cameron Highlands bagi penangguhan penguatkasaan.

Sehari sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan penangguhan penguatkuasaan di kawasan terbabit yang difailkan peneroka pada 3 April lalu.

Selain daripada itu, Al-Sultan Abdullah juga bertitah supaya petani di kawasan tanah tinggi tersebut dapat melaksanakan pertanian moden yang bukan sahaja berupaya meminimumkan penggunaan tanah, malah memberi pulangan pendapatan yang tinggi kepada pengusaha.

“ Bagaimanapun, mereka perlulah mengemukakan permohonan dan mengikut prosedur serta syarat yang ditetapkan,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Citer Santai

Sumber : hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *