Viral

Selepas dikatakan angkuh, ini reaksi balas Foodpanda

FOODPANDA Malaysia (Foodpanda) kesal dengan tindakan segelintir pihak yang melakukan seruan memboikot perkhidmatan penghantaran makanan yang dikendalikannya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu berkata, sebahagian kenyataan daripada taklimat media semalam diambil secara luar dari konteks asal.

“Niat kami hanyalah untuk menjelaskan mengenai isu yang timbul serta perincian skim pembayaran terbaru itu yang sudah disalah tafsir oleh kebanyakan pihak,” katanya.

Foodpanda menjelaskan, skim terbaru itu diyakini akan memberi manfaat kepada pengguna, rakan kongsi dan penghantar.

“Kami akan terus memantau pelaksanaan skim ini sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Ekosistem Foodpanda terdiri daripada penghantar, rakan kongsi dan pengguna yang mana semuanya adalah tulang belakang kami.

“Sokongan berterusan semua pihak amat kami hargai,” katanya.

Foodpanda angkuh – Syed Saddiq

Sebelum ini tular KENYATAAN terbaru syarikat penghantaran makanan, Foodpanda yang mendakwa tidak terkesan dengan mogok yang dilakukan penunggangnya dianggap tindakan angkuh.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sesebuah syarikat korporat dapat dibangunkan dan dijatuhkan pekerjanya, ia juga boleh berlaku pada Foodpanda yang dibangunkan bersama pekerja dan pelanggan.

“Sebagai #Yangberkhidmat, saya dipilih oleh rakyat dan boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja/pengguna, dan boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna.

“Keangkuhan bukan penyelesaiannya,” katanya menerusi ciapan Twitternya, malam ini.

Pengarah Urusan syarikat, Sayantan Das, dalam taklimatnya memaklumkan, syarikat itu tidak berdepan masalah jika penghantar makanan mahu mogok kerana tidak berpuas hati dengan skim bayaran terbaru yang diperkenalkan.

Dalam skim baru bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Tindakan itu memberi kesan kepada penghantar makanan yang sebelum ini menerima bayaran RM4 sejam selain mendapat bayaran tambahan jika menghantar pesanan kepada pelanggan.

sumber: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *